Rabu, 10 Julai 2013

PENGAJARAN MIKRO DAN MAKRO

2.7.2013

Mungkin anda telah biasa mendengar frasa "Pengajaran Mikro", dan mungkin pernah melaksanakan pengajaran mikro bagi kursus lain seperti bahasa Inggeris. Dalam halaman ini, kita akan meninjau aspek-aspek yang berkaitan dengan pengajaran mikro.


Apa itu pengajaran mikro?

Pengajaran mikro merupakan salah satu inovasi dalam latihan kemahiran mengajar dalam bilik darjah yang telah digunakan secara meluas sejak 1961 di Universiti Stanford, California. Pengajaran mikro dapat melatih guru pelatih sebelum mereka mengajar dalam bilik darjah yang sebenar.          

Dalam pengajaran mikro, situasi pengajaran-pembelajaran dipermudah dengan tempoh mengajar. Jumlah bilangan murid dalam kelas juga dikecilkan agar pengajaran guru lebih terkawal. Guru hanya perlu melaksanakan satu aspek atau satu jenis kemahiran mengajar daripada beberapa kemahiran yang disenaraikan. 

Kelebihan Pengajaran Mikro

Pengajaran mikro mempunyai kelebihan seperti yang berikut: 

1.  Guru pelatih akan lebih yakin apabila berada dalam kelas sebenar

Walaupun tempoh dan bilangan murid adalah kurang, pengajaran mikro dapat memberi keyakinan kepada guru pelatih apabila mereka berada dalam kelas sebenar. 

 2.  Guru pelatih dapat menguasai sesuatu kemahiran mengajar

Pengajaran mikro menumpukan kepada satu jenis kemahiran mengajar sahaja. Oleh itu guru pelatih dapat menguasai kemahiran tersebut.  

3.  Guru pelatih dapat mengenal pasti potensi diri

Melalui pengajaran mikro, guru dapat mengenal pasti potensi atau bakat yang ada pada dirinya, seperti memiliki suara yang lantang dan sebutan yang jelas, berkebolehan bernyanyi dan berlakon, dan sebagainya. Dengan demikian guru pelatih dapat menggunakan potensi tersebut dengan sebaik mungkin. 

4.  Guru pelatih dapat mengenal pasti kelemahan dalam pengajaran-pembelajaran      

Melalui pengajaran mikro,  kelemahan pengajaran seseorang guru mudah dkenal pasti dan diperbaiki. Daripada hasil perbincangan dan pandangan raan sekursus dan pensyarah guru boleh mengulang pengajaran untuk membaiki kelemahannya.


 Ciri-ciri Pengajaran Mikro

Pengajaran mikro mempunyai ciri-ciri yang berikut: 

1.  Objektif pengajaran-pembelajaran yang terhad.

Dalam pengajaran mikro, hanya perlu mencatatkan satu atau dua hasil pembelajaran. Dengan hasil pembelajaran yang terhad ini dijangkakan guru akan dapat mencapainya. 

2.  Jumlah murid yang sedikit

Sebaik-baiknya jumlah murid yang terlibat adalah antara 10 hingga 15 orang. Murid boeh terdiri daripada murid sekolah yang sebenar, atau rakan sekursus guru pelatih itu sendiri. Dengan bilangan murid yang kecil, pengajaran guru tidak banyak diganggu oleh kerenah murid dan guru dapat memberi tumpuan kepada aspek tertentu atau kemahiran mengajar tertentu. 

3.  Fokus hanya kepada satu atau dua strategi pengajaran

Guru pelatih hanya perlu menggunakan satu atau dua strtegi atau teknik pengajaran ketika menyampaikan pelajarannya. Dengan mengehadkan strategi pengajaran, perbincangan selepas pengajaran mikro akan dapat difokus kepada jenis kemahiran yang dipilih. 

4.  Jangka masa pengajaran yang singkat

Pengajaran mikro dijalankan antara 5 hingga 20 minit sahaja. Jangka masa pengajaran yang singkat ini dapat mengurangkan stres kepada guru di samping penekanan kepada satu atau dua kemahiran sahaja.

5.  Bahan pelajaran yang sedikit

Guru tidak perlu menyampaikan keseluruhan isi pelajaran. Hanya sebahagian isi pelajaran yang diambil. Dengan cara ini guru akan dapat menguasai sepenuhnya bahan yang hendak disampaikan dan tumpuan yang lebih dapat diberikan kepada penyampaian pelajaran. 

6.  Perbincangan selepas pengajaran

Pensyarah akan membuat perbincangan selepas pengajaran mikro dijalankan. Perbincangan dilakukan antara pensyarah, pelajar dan guru pelatih. Rakaman juga boleh dibuat semasa pengajaran mikro dijalankan, dan rakaman ini ditayang semula semasa perbincangan. 


Kemahiran yang boleh dilihat dalam Pengajaran Mikro

Antara kemahiran yang boleh dilihat ialah: 

1.  Induksi set

Induksi set adalah cara yang digunakan oleh guru untuk memulakan pengajaran atau untuk memperkenalkan sesuatu topik baharu. Beberapa cara dapat digunakan dalam induksi set  untuk menarik minat dan perhatian murid. Antaranya adalah seperti melakon, bercerita, menyanyi, menonton video, pemaparan visual dan sebagainya. Guru juga boleh menghungkaitkan pelajaran yang akan dipelajari degan situasi dalam kehidupan seharian. Induksi set hanya memerlukan masa yang singkt, iaitu kurang daripada 10 minit.  

2.  Perkembangan konsep

Adalah penting bagi guru menguasai kemahiran mengembangkan konsep dengan menggunakan bahan bantu belajar dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai. Konsep yang sukar atau abstrak dapat diterangkan melalui penggunaan bahan maujud atau konkrit. 

3.  Teknik Penyoalan

Penyoalan merupakan satu teknik pengajaran yang berkesan sekiranya guru dapat menggunakan teknik itu dengan baik. Guru perlu sentiasa menyoal murid agar mereka memberi perhatian. 

melalui penyoalan, guru dapat menguji pemahaman murid, selain menggalakkan mereka berfikir dan menarik perhatian mereka.

Semasa guru pelatih mengajar, perlakuan guru yang berikut dapat diperhatikan:

 -   Adakah guru menghalakan soalan kepada semua murid?

 -   Adakah soalan guru jelas?

 -   Adakah guru memberi masa yang mencukupi untuk murid menjawab? 

-          Adakah soalan guru bersesuaian dengan pelajaran dan objektif pengajaran-pembelajaran?

-     Bagaimanakah guru pelatih melayan jawapan murid?

4.  Penilaian

Guru pelatih  harus menilai pemahaman murid. Selain penyoalan, aktiviti lain juga boleh digunakan untuk menuji kefahaman murid, misalnya lembaran kerja, kuiz, permainan, dan sebagainya.


Anda bolek kemukakan cadangan atau pendapat atau ulasan terhadap pengajaran mikro.


Latihan: Senaraikan soalan-soalan yang boleh ditanya semasa mengajar topik-topik yang berikut:

(i)   Wang
(ii)  Jisim
(iii) Isipadu Cecair

       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan